"Ashrul, you boleh buatkan I kuih lapis tak? I dah lama tak makan. I suka kuih-muih melayu ni"
"I bawa budu tahun ni datang Moscow. Kamu semua yang ajar I makan budu. Now, I dah suka makan budu."
"Sambal belacan is my favourite. Yummmyyy"
Percayakah anda kalau aku katakan dialog-dialog diatas keluar dari mulut kawan india dan cina aku? Percayalah. Itu adalah hakikat. Aku sendiri pada awalnya tidak percaya yang kawan india aku yang sudah ketagih dengan budu. Sounds weird. Nak tergelak pun ada juga. Tetapi memang aku kagum dengan mereka. Aku sendiri pun suka makan kari ayam india cicah roti canai. Jadi apa masalahnya,Kita kan Orang Malaysia!
Imej dari google |
Berbalik kepada realiti kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Melur, Ah Meng, dan Muthusami. Rupa kita berbeza. Warna kulit kita berbeza. Agama kita berbeza. Bangsa kita pun berbeza. Namun, kita tinggal di dalam sebuah negara yang cukup harmoni dan bersatu padu. Mengimbau kesepakatan dan kesungguhan datuk nenek kita untuk meraih kemerdekaan daripada British, amat wajarlah kita sebagai anak watan pasca merdeka ini meneruskan amanah tersebut. Menjaga keamanan dan kestabilan yang sudah sekian lama terbina.
Teringat kata-kata Shaykh Hamza Yusuf baru-baru ini ketika beliau berada dibumi Malaysia, "Allah loves unity through diversity." Allah menyayangi kesepakatan melalui kepelbagaian. Hidup dibumi Malaysia cukup bertuah. Bukan sengaja Allah membuat percaturan meletakkan bumi Malaysia dihuni oleh kepelbagaian bangsa dan agama. Jom kita meneliti kalam cinta dari Allah.
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". Al Hujurat : 11
Indah bukan? Allah telah memberi satu anugerah yang tidak ternilai kepada penduduk Malaysia iaitu kepelbagaian suku dan kaum. Jadi, sambutlah firman Allah itu dengan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Semaikan benih kecintaan, bajailah dengan kesepakatan serta toleransi dan tuailah buah-buah kedamaian yang ranum.
Ayuhlah semua. Sempena hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun, sama-sama kita mengukuh ikatan kesepakatan dalam kemajmukan, mengeratkan perpaduan dalam menjamin keharmonian tanah air kita. Buangkan sifat perkauman dan rasis yang akan memburukkan lagi negara kita. Hormati hak dan kebebasan bangsa lain. Bak kata orang, bersatu teguh bercerai roboh.
Selamat Hari Malaysia. #SayNoToRasist
Comments
Post a Comment
tinggalkan pesanan