[SABARNYA SI MURABBI]
Senyumannya tidak pernah lekang dibibir walau wajah tampak letih badan tampak lemah. Bicaranya seakan tidak pernah kenal erti penat. Ketawanya seakan tidak pernah bersua makna kekecewaan.
Setiap pesanannya disulami kasih sayang dan cinta bersandar Tuhan. Setiap tegurannya penuh rasa keikhlasan dalam membina. Setiap taujihatnya sentiasa menggugah jiwa serta menyirami hati yang kontang.
Sabarnya si murabbi
Biar berjuta kesalahan kita, dia tetap sabar dalam menegur. Menuntun kita untuk kembali akan hakikat berTuhan dengan penuh senyuman sayang. Tidak pernah ditinggikan suara malah tidak pernah ditengking hina. Hanya mutiara nasihat ikhlas yang tersusun indah untuk kita.
Sabarnya si murabbi
Jarak tidak pernah menjadi alasan untuknya. Demi mutarabbi tercinta, jarak yang jauh dirasakan dekat dek kerana rindu untuk bersua. Pulangnya lewat malam bukanlah penghalang bahkan satu kebahagiaan. Kerana dia tahu, jauh itu hanya fizikal dan dekat itu adalah simpuln hati-hati mereka.
Sabarnya si murabbi
Melayan karenah kita yang pelbagai. Ada yang malas, ada yang masih degil ada juga yang masih membenci. Namun, baginya itu semua adalah keindahan dalam perjuangan. Dididik, dibelai dan ditarbiyah dengan penuh bersemangat tanpa jemu ditambah doa tiada putus pada Pemilik hati yang hakiki.
Sabarnya si murabbi
Bila liqa yang disusun tiba-tiba kita minta dibatalkan. Bila diundang menghadiri program kita mengumpul seribu satu alasan untuk tidak pergi. Dia, hanya mengukir senyuman walhal jauh dilubuk hatinya sedang menangis. Menangis bukan sahaja kerana kecewa tetapi menangis mungkin kerana dia takut dosanya itu yang menjadi penghalang.
Murabbi,
Sabar itu senjata utama mereka. Jika mereka tiada sabar akan kita, mana mungkin mereka senantiasa berusaha yang terbaik untuk kita. Senantiasa menyebut nama kita dalam setiap sujud dan doanya.
Namun, kita asyik merungut, murabbi tidak memahami diri kita, tidak menjiwai kita dan tidak menyokong kita. Namun, pernahkah kita bertanya kepada diri, adakah aku memahami isi hati murabbiku?
Tiada diharap balasan dari kita. Hanya cukup melihat kita semakin dekat dengan Pencipta.
Comments
Post a Comment
tinggalkan pesanan